ACARA Art of Speed Asia 2014 membuktikan kejayaannya mengumpul penggiat seni tempatan dalam bidang automotif untuk memperjuangkan kenderaan binaan khas (kustom) di negara ini.
Acara ini dikelolakan oleh penggiat seni 'kustom kulture', Switchblade Kuala Lumpur yang menjelajah negara dengan ikon-ikon kustom tempatan. Pusingan pertama jelajah Malaysia telah diadakan di Ipoh dan kali ini acara menjelajah Johor.
Bertempat di Mall of Medini bersebelahan Legoland di Nusajaya, Johor pada 14 & 15 November lalu, Art of Speed Asia membawa turun acara Malaysia Icon Tour. Acara ini dibawakan khas oleh UEM Sunrise Sdn Bhd yang juga berperanan sebagai penaja tapak acara yang julung kali diadakan di Johor ini.
Lebih 20,000 pengunjung dan juga peserta dari daerah Johor dan juga dari Singapura membanjiri kawasan pameran automotif itu selama dua hari berturut-turut.
Acara ini mempamerkan kenderaan kustom dan pemilik dari Art of Speed Asia yang diundang khusus untuk memeriahkan dan berkongsi pengalaman mereka bersama warga Johor.
Pelbagai aktiviti istimewa seperti bazar jualan, galeri seni, pertandingan drift alat kawalan jauh oleh kelab RC Drifters Kulaijaya, sesi “Kustoms dan Coffee” dengan ikon kustom tempatan iaitu Pa’din Musa dari Abah & Sons Motoworks (Malaysia), Joop dari Singapura dan Izam Shariman dari Curro Malaysia, tayangan wayang gambar, kedai gunting rambut berkonsep klasik, kontena istimewa dengan permainan interaktif, I’M Singles “Virtual Concert” dengan Marionexxes, The Nationhead dan Clique, persembahan kugiran musik iaitu Kugiran D’Tepi Pantai dan ‘Jimi Hendrix’ Malaysia Md Noor dan banyak lagi!
Peminat Art of Speed juga berpeluang turut serta di dalam pertandingan ‘Show and Shine’ dalam kategori Kereta, Motosikal dan juga basikal Lowrider.
Acara ini juga memperkenalkan Motack 2014 edisi Johor, karnival gymkhana motosikal yang pertama di Malaysia, dianjurkan oleh Cycle World Malaysia. Edisi Johor memperkenalkan trial bike riding, acara stunt dan klinik motosikal.
Persembahan stunt istimewa oleh Aaron Twite dari USA selama dua hari sebanyak 3 kali sehari. Twite berasal dari Atlanta, Amerika Syarikat sedang berada di Malaysia untuk edisi jelajah Malaysia bersama Motack.
Motack juga memperkenalkan tiga pasukan dari Malaysia iaitu ChainStuntNation, StreetslideJB dan KLFreeStyleCrew. Persembahan istimewa demo supermoto juga diadakan oleh Alex dan Suhaidi.
Maklumat lanjut boleh dilayari di http://www.artofspeedmy.com atau Facebook, Art of Speed Malaysia.
Sumber: Sinar Harian (4 Disember 2014)
http://www.sinarharian.com.my/rencana/art-of-speed-malaysia-icon-tour-gegar-johor-1.339079